Subject:
Pencarian ahli jawatankuasa Waheeda FC di S'pura
|
Sunday, August 12, 2007
Assalamualaikum wb, Seperti mana yang anda maklum, kami sedang mencari ahli jawatankuasa Kelab Peminat Waheeda di Singapura. Jika anda seorangh warganegara Singapura, mempunyai idea-idea yang kreatif, seorang yang periang dan yang penting sekali, peminat Waheeda, andalah yang kami cari!! Hantarkan butiran lanjut tentang diri anda dan nyatakan kenapa anda harus dipilih untuk menjadi ahli jawatankuasa Kelab Peminat Waheeda (Waheeda FC) ke email berikut: admin.waheedafc@gmail.com
Subject:
Waheeda - Mahu berlakon filem aksi
|
Thursday, December 11, 2003
.jpg) Oleh ABD. AZIZ ITAR
APABILA melihat penampilan dan gaya Waheeda yang sopan bertudung, mungkin ramai yang tidak menyangka penyanyi serta pelakon ini sebenarnya gemarkan aksi lasak. Menurut Waheeda, bertudung dan berpakaian labuh bukan halangan untuknya mencuba aksi-aksi lasak terutamanya menerusi filem. Justeru, jika diberi peluang, Waheeda atau nama sebenarnya Nor Wahidah Abd. Wahab, 25, teringin berlakon filem aksi. ``Kalau boleh saya mahu berlakon dalam filem seperti Charlie's Angles. Saya memang suka menonton filem-filem aksi. ``Bagi saya, bertudung tidak menjadi masalah untuk saya melakonkan aksi-aksi lasak asalkan ia sesuai dan tidak melampaui batasan. ``Saya akan cuba menyesuaikan watak yang saya lakonkan itu dengan penampilkan diri saya,'' kata Waheeda semasa Utusan Malaysia bertemu dengannya baru-baru ini. Pada pertemuan itu, Waheeda hadir di majlis pra-tonton filem sulung lako-nannya berjudul Jutawan Fakir arahan Prof. Madya A Razak Mohaideen. Menerusi filem itu, Waheeda melakonkan watak Marina bersama pelakon lain antaranya Saiful Apek (Senario), Bob (KU2), Imuda dan Pie. Selain teringin berlakon filem aksi, Waheeda juga teringin ber-lakon dengan tiga jejaka yang menjadi teman rapatnya selama ini. ``Jika diberi pilihan, saya mahu berlakon bersama Salleh (anggota kumpulan nasyid Brothers), Yasin dan Azman (pengurus Yasin) dalam sebuah filem. ``Ini kerana, kami berempat adalah kawan rapat. Jadi, kami lebih mudah bekerjasama antara satu sama lain,'' ujar Waheeda. Meskipun mula menceburi bidang lakonan tetapi penyanyi yang popular menerusi lagu Wassini ini lebih mengutamakan bidang nyanyian. ``Menyanyi adalah keutamaan saya kerana bidang ini lebih memberi kepuasan kepada saya. Walau bagaimanapun, kalau ada peluang saya mahu terus berlakon. ``Dengan cara itu, saya boleh menambahkan lagi pengalaman saya dalam bidang lakonan. Ini kerana, menerusi Jutawan Fakir saya cuma berlakon dalam 11 adegan sahaja. ``Banyak lagi yang saya perlu pelajari dalam bidang lakonan. Mujurlah, pelakon seperti Saiful Apek banyak membantu saya,'' kata Waheeda lagi.
Subject:
Serius, usaha dan tawakal - Menjamin masa depan
|
Wednesday, December 3, 2003
Generasi Wawasan Oleh ZUARIDA MOHYIN Wassini begitu sinonim dengan Waheeda atau nama sebenarnya Nor Wahidah Abdul Wahab. Gadis kelahiran Johor ini, sebelum bergelar penyanyi, aktif dengan kerja-kerja di belakang tabir seperti mencipta dan mengubah lagu. Kini, Waheeda melebarkan lagi sayap seninya dengan berlakon. Filem Jutawan Fakir adalah filem sulung lakonan Waheeda, yang ditayangkan di pawagam pada Syawal ini. Kejayaan Waheeda ini wajar dibanggakan kerana kemunculannya di persada seni tanah air membawakan satu konsep yang lain daripada yang lain, World Music. Ini merupakan satu pembaharuan. Album Wassini diterbitkan oleh MIG Record memuatkan empat buah lagu iaitu Wassini, Now I Do/ Ku Tahu, Nani dan Dua Dalam Bahtera. Lagu Now I Do/ Ku Tahu (dalam dwibahasa) merupakan lagu ciptaan Waheeda sendiri. Sekali gus, ia diminati ramai dan tersenarai dalam Juara Lagu 18 peringkat akhir. Penglibatan Waheeda dalam dunia hiburan sesuatu yang cukup berbeza kerana beliau tidak pernah menganggap penyertaannya dalam industri ini sekadar mengisi masa lapang atau mencuba nasib. ``Saya gemar menyahut cabaran. Mencuba pelbagai bidang yang berbeza juga antara tabiat saya sejak dari zaman persekolahan lagi. Ternyata, keputusan saya ini membawa banyak rahmat. ``Malah, saya memang serius dalam bidang ini. Hakikatnya, waima bidang apa sekalipun ia boleh menjamin masa depan yang cerah dengan syarat seseorang itu fokus, serius, usaha dan bertawakal,'' kata Waheeda, 25 tahun. Waheeda tidak menafikan, semenjak semakin dikenali dan diterima peminat, beliau turut berhadapan dengan pelbagai dugaan dan kesulitan, tanpa benteng keimanan ia boleh memudaratkan. Bahkan, terlintas di fikirannya akan kemampuan diri dalam menghadapi dugaan dan cabaran dunia seni. ``Alhamdulillah, sehingga hari ini saya mampu mengharungi segala dugaan mendatang. Satu perkara yang selalu di ingatan, saya tidak pernah lupa bermuhasabah diri. ``Ahli keluarga dan teman-teman juga banyak membantu dan membimbing saya. Pokok pangkalnya, berbalik kepada niat kita. ``Saya percaya kepada nawaitu seseorang itu. Jika niat kita baik, semua kerja juga akan berjalan dengan sebaik yang mungkin, insya-Allah,'' terang Waheeda. Bakat besar yang dimiliki Waheeda hakikatnya bukan dalam dunia hiburan sahaja, malah sebelum bergelar anak seni, Waheeda merupakan seorang lulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan. Menurutnya, minatnya pada seni bermula sejak dari kecil lagi. Malah minat yang sama turut dikongsi bersama seluruh ahli keluarganya. Ayahnya berkebolehan bermain alat muzik gitar dan keyboard. Lantaran itu, tidak hairanlah Waheeda mendapat pendedahan kepada muzik seawal usia lima tahun. Dia telah dihantar mengikuti kelas organ, piano dan violin. Sungguhpun Waheeda disenangi dengan penampilannya yang bertudung litup dan sopan gaya wanita Muslimah, namun ia bukan penghalang untuk menghargai muzik, sama ada tradisional ataupun Barat. Akui Waheeda, seni itu membawa pengertian yang luas dan subjektif, sama seperti orang melihat atau menilai cantik. Hakikatnya, muzik adalah sejagat, sesiapa sahaja boleh mendengar dan menghargai karya muzik orang lain. ``Yang pasti, setiap individu itu harus bersikap terbuka tetapi pada masa yang sama tidak mudah terpengaruh dengan anasir yang negatif sehingga ke tahap mengagungkan mereka secara keterlaluan. ``Kesukaan saya kepada irama Melayu asli dan gazal, memang tidak boleh ditolak tetapi sebenarnya pertalian antara lagu-lagu ghazal dan Arab begitu hampir, jadi semua ini bukan sesuatu yang baru atau menyulitkan penghayatan saya. ``Hakikatnya, album Wassini memberi suntikan semangat dan keyakinan kepada saya untuk menghasilkan album yang lebih bermutu dan melibatkan karya saya sepenuhnya pada masa akan datang,'' ujar Waheeda yang tidak suka dengan sikap separuh jalan dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Tegas Waheeda lagi, beliau bukannya menyanyikan irama nasyid, cuma irama World Music yang dibawa menonjolkan mesej yang baik dan ia berunsur ketuhanan.
Subject:
Raya - Lima artis ada cara tersendiri
|
Tuesday, November 25, 2003
DI hari yang mulia ini amalan kunjung mengunjung untuk mengeratkan lagi silaturrahim perlu diamalkan. Malah budaya tersebut sudah sinonim dengan jiwa orang Melayu. Maka apabila raya menjelang, kecil besar tua muda akan saling ziarah menziarahi. Bagi golongan artis, cara menyambut raya agak berlainan. Achik Spin yang tengah top dengan lagu Paling Comel dendangan bersama Siti Nordiana ini berkata, raya kedua kali ini dia perlu pergi ke Brunei Darussalam atas urusan kerja. Tambah Achik, dia terpaksa mengorbankan kemeriahan rayanya demi untuk mengatur masa depan. Katanya, dia akan beraya sakan apabila urusannya di Brunei selesai nanti. Achik kini sibuk dengan syarikat Spire Spin Sdn. Bhd., yang dikongsi bersama Siti Nordiana. Di waktu yang sama dia juga menguruskan Spire Spin Club Entertainment. Kata Achik, semua peminat dialu-alukan menyertai kelab tersebut. ``Bayaran RM35 untuk seumur hidup. Peminat yang menganggotai kelab Achik ini berpeluang untuk pergi melancong bersama dan memiliki barangan seperti telefon bimbit, buku, pen dan kalendar yang dijual dengan harga yang berpatutan,'' katanya yang semakin matang itu. Kata Achik, sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi Jay di talian 013-7041998. Sementara Siti Nordiana (Nana) pula berkata seperti biasa, dia berhari raya di Sendayan, Negeri Sembilan. Nana juga terpaksa bersama keluarga sekejap sahaja kerana selepas tiga hari di kampung, dia akan pergi ke Kuching, Sarawak. Katanya, ``Nana banyak mendapat undangan persembahan selepas raya. Tawaran mendatang tidak boleh ditolak sebab itulah Nana kena pandai membahagikan masa antara karier dan keluarga. ``Lagipun selepas raya ini, Nana akan mula masuk studio untuk rakaman album baru,'' katanya. Penyanyi Waheeda yang popular dengan lagu Wassini amat gembira menyambut raya tahun ini. Katanya, ``Saya diberitahu ada orang menjual tudung menggunakan nama saya. Tentu ramai yang pakai tudung seperti saya pada raya inikan? Cuma saya harap, kalau pakai tu biarlah dengan cara yang betul,'' katanya sambil tersenyum. Waheeda yang pertama kali beraya sebagai artis, menyambut raya tahun ini di Bukit Tiram, Johor Bahru. Kata Waheeda, ``Kami berkumpul menikmati masakan ibu, Nasi Bombay bersama Ayam Masak Merah, Laksa Johor dan Sambal Goreng. Sudah menjadi tradisi keluarga pada Hari Raya menjamu juadah itu.''
Elyana pula tahun ini beraya di Kampung Pandan dan Kelang. Sementara Mamat yang popular dengan lagu raya, Ku Pohon Restu Ayah Bonda, kali ini menyambut raya di rumah mentua. Jelasnya setelah beraya di Rembau, Negeri Sembilan, barulah dia dan isteri, Shila serta anak, Alya Maisara pulang ke Kampung Melayu, Johor rumah keluarganya.
Subject:
Wassini mengubah hidup Waheeda
|
Sunday, November 23, 2003
PENYANYI muda yang bertudung litup dan bersuara unik, Waheeda mempunyai banyak alasan untuk berasa seperti berada di puncak keriangan menyambut Aidilfitri tahun ini. Banyak tuah memihak kepada dirinya sejak kebelakangan ini dan semuanya gara-gara album single Wassini yang meletup tanpa diduga itu. Lagu itu bukan saja memperkenalkan Waheeda dalam arena seni suara pada masa yang sama bakal mengukir banyak nostalgia yang indah di awal pembabitannya dalam dunia nyanyian. Wassini bukan sekadar melayakkan Waheeda ke final Juara Lagu 2003 dalam kategori Etnik Kreatif tetapi membolehkan dia memiliki anugerah emas untuk jualan album itu. Album Wassini berjaya terjual lebih 15,000 unit. Bagi sebuah album mini yang cuma memuatkan empat buah lagu termasuk Wassini ia adalah satu rekod yang baik untuk artis baru sepertinya. Majlis penyerahan anugerah emas untuk album tersebut diadakan baru-baru ini. Kejayaan itu sememangnya membuka lembaran yang luas untuk menjayakan impiannya bergelar penghibur. Malah tidak lama lagi Waheeda ke studio untuk rakaman album penuhnya. Album yang bakal mendapat sentuhan komposer muda seperti Yassin, Hazami, Reshmonu dan Amir Ruffedge itu akan terus mempertaruhkan irama World Music. Tidak ketinggalan ialah lagu Wassini dalam versi unplugged. Kemungkinan besar untuk album yang sama, Waheeda akan berduet dengan penyanyi muda berbakat Siti Nurhaliza. ``Ia masih pada peringkat perbincangan, pihak kami sudah pun mendekati Siti, tunggu perkembangan nanti,'' komen Waheeda yang mengakui cukup berbesar hati andai berpeluang berduet dengan artis kesayangan ramai itu. Waheeda juga meletakkan harapan yang tinggi agar perancangan duet dengan idolanya itu berjaya walaupun perkara itu masih samar. Berceloteh tentang perkembangan tersebut komen Waheeda, kejayaan awal itu tidak akan sesekali menjadikan dia lupa diri atau alpa. Malah artis itu mengakui bahawa dia akan lebih berhati-hati untuk melayari bahtera seni yang dipilih itu sebaik mungkin. ``Kita memang sentiasa alpa dengan tanggung jawab dan tidak bersyukur dengan nikmat yang ada. ``Atas sebab itu saya perlu berhati-hati. Apa pun saya banyak belajar daripada album mini itu tentang selok-belok dunia artis,'' katanya. Apa yang dipelajari oleh artis berusia 26 tahun itu juga mungkin atmosfera dunia artis yang penuh dugaan termasuk gosip itu. ``Memang tidak boleh lari daripada perkara itu dan saya terima sebagai salah satu cabaran saja,'' tambahnya yang turut tidak dapat lari daripada gosip percintaan. Bercerita tentang persediaannya ke pentas Juara Lagu kelak, kata Waheeda, dia akan memastikan yang terbaik. ``Banyak aspek yang akan saya titik beratkan daripada penampilan hinggalah ke vokal,'' katanya penuh keyakinan. Di sebalik semua itu, artis tersebut juga semakin berdebar menantikan reaksi peminatnya menjelang penampilan sulungnya di layar perak bagi filem Jutawan Fakir. Filem yang menjadi tayangan bersempena Aidilfitri itu menggandingkan Waheeda sebagai heroin di samping Apek Senario. Apa pun dunia lakonan itu sekadar tempelan dan dia tidak berhasrat untuk membelakangi dunia nyanyian yang pasti menjadi keutamaannya. ``Minat saya lebih kepada muzik dan cuma akan berlakon jika ada kelapangan,'' jelasnya yang turut mempunyai bakat mencipta lagu. Apa yang pasti kehadiran Ramadan dan Syawal pada tahun ini membawa seribu keceriaan untuk artis berasal dari Johor itu. Bercerita tentang perancangan menyambut Aidilfitri yang pertama sebagai celebrity kata Waheeda, dia tetap memilih suasana kesederhanaan bersama keluarganya. ``Saya akan beraya bersama keluarga di Johor tetapi mungkin sekejap saja kerana saya harus kembali untuk membuat persediaan Juara Lagu,'' tambahnya. Artis itu bagaimanapun tidak menafikan bahawa perasaan untuk merayakan Aidilfitri tahun ini sedikit berbeza memandangkan dia sudah bergelar celebrity. ``Perbelanjaan mungkin lebih sedikit daripada tahun lepas,'' kata Waheeda yang merancang untuk mengadakan rumah terbuka untuk peminatnya.
Subject:
Saya bukan penyanyi nasyid – Waheeda
|
Tuesday, October 21, 2003
DALAM industri hiburan tempatan, Waheeda boleh disenaraikan sebagai penyanyi kedua selepas Yasin yang muncul dengan album berkonsepkan world music. Selain cuba mengetengahkan konsep muzik itu, Waheeda juga boleh tersenyum lebar apabila album pertamanya yang berjudul Wassini berjaya memikat hati pendengar. Buktinya, lagu berjudul Wassini yang dimuatkan menerusi album sulungnya itu diminati ramai dan ia turut tersenarai dalam Juara Lagu 18 peringkat separuh akhir baru-baru ini. ``Bukan itu sahaja, tetapi saya difahamkan jualan album Wassini setakat ini sudah mencecah lebih 15,000 unit sejak ia berada di pasaran 10 Mei lalu. ``Malah, Wassini hanyalah sebuah album mini yang mengandungi empat buah lagu sahaja,'' kata Waheeda pada pertemuan dengan Utusan Malaysia baru-baru ini. Menurut Waheeda atau nama sebenarnya Nor Wahidah Abd. Wahab, 25, jualan Wassini yang memberangsangkan itu memberi semangat kepadanya untuk terus menyanyi. ``Wassini memberi semangat dan keyakinan kepada saya untuk menghasilkan album di masa akan datang. Buat masa ini, saya sedang membuat persiapan untuk menghasilkan album baru,'' ujar Waheeda. Tambah Waheeda, para peminat bukan setakat meminati lagu Wassini tetapi ada di kalangan mereka yang mencadangkannya supaya berduet dengan Yasin. ``Yasin adalah penerbit album Wassini. Saya memang ada rancangan mahu berduet dengan Yasin dalam sebuah album. Pada pendapat saya, ia tidak salah kerana kami mempunyai konsep muzik yang sama. ``Sebelum inipun, saya dan Yasin pernah berduet menerusi lagu Salsabila dalam satu program terbitan RTM,'' cerita Waheeda. Jelas Waheeda lagi, ada juga di kalangan peminat yang melabelkannya sebagai Yasin versi wanita lantaran konsep muzik yang diperjuangkannya itu. ``Kenyataan itu timbul kerana kebetulan saya dan Yasin membawakan konsep muzik yang sama. Walau bagaimanapun, ramai yang keliru dengan konsep muzik kami. ``Saya bukannya menyanyikan irama nasyid. Ramai juga peminat yang salah faham. Ini kerana, irama nasyid dan world music agak berbeza. ``Persamaannya ialah, dua irama tersebut menonjolkan mesej yang baik dan ia berunsur ketuhanan,'' kata Wahida lagi mengakhiri perbualan.
Subject:
Waheeda positif terhadap muzik
|
Sunday, August 24, 2003
``SAYA gemar mendengar lagu-lagu Linkin Park kerana banyak mesej di sebalik muzik mereka yang agak keras. Vokal Christina Aguilera pula banyak mendedahkan saya kepada teknik nyanyian yang sebenar.'' Itu adalah sebahagian daripada pengakuan penyanyi wanita bertudung litup ala Wardina, Waheeda. Dia kini semakin melonjak popularitinya menerusi lagu Wassini atau yang membawa maksud Nasihati Aku. Meskipun pergerakan sosialnya dibatasi oleh imej dan personaliti wanita Muslim, namun itu bukan alasan untuk Waheeda menghargai muzik dan karya seni bangsa asing. Waheeda bersikap jujur. Beliau sentiasa mempunyai hujah dan alasan yang tersendiri ketika mempertahankan pendiriannya. ``Seni itu mengundang definisi yang cukup luas. Sesiapa sahaja boleh mendengar dan meminati karya muzik orang lain meskipun dari Barat. ``Paling utama, setiap individu itu harus bersikap terbuka tetapi pada masa yang sama tidak terpengaruh dengan anasir-anasir yang negatif. Itu pendirian saya,'' ujar Waheeda lulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan. Cinta Waheeda pada seni berputik sejak dari kecil lagi. Minat yang sama dikongsi si manis berusia 25 tahun ini dengan seluruh ahli keluarganya. Menurut Waheeda, ayahnya pandai bermain gitar dan keyboard. Justeru tidak hairanlah ayahnya telah mendedahkan puterinya itu kepada muzik dengan menghantar Waheeda mengikuti kelas organ, piano dan violin. Sebagai anak kelahiran Johor yang sentiasa dipupuk kecintaan mereka terhadap irama muzik ghazal dan Melayu asli, Waheeda tidak ketinggalan daripada didedahkan kepada persekitaran yang serupa. ``Cinta saya terhadap irama ghazal dan Melayu asli cukup mendalam sekali. Semua ini disebabkan saya terpengaruh dengan saudara-mara dan ahli keluarga saya yang aktif melibatkan diri dalam kegiatan seni,'' ceritanya mendedahkan pengalaman awalnya mendekati irama ghazal dan Melayu asli. Pun begitu, di sebalik latar belakang Waheeda yang mencintai irama ghazal dan Melayu asli, sesuatu yang menghairankan mengapa beliau memilih genre world music atau pengaruh Asia Barat dalam album mininya. Menjawab pertanyaan ini, Waheeda menjelaskan, selain ghazal dan Melayu asli, beliau juga dewasa dengan lagu-lagu Arab. ``Pertalian antara lagu-lagu ghazal dan Arab begitu dekat sekali, jadi semua ini bukan sesuatu yang baru atau sesuatu yang menyulitkan untuk saya,'' kata Waheeda lagi. Apakah Waheeda juga fasih berbahasa Arab? ``Saya masih dalam proses pembelajaran bahasa Arab,'' kata Waheeda lagi. Album mini Waheeda yang diterbitkan oleh MIG Record sekadar memuatkan empat buah lagu iaitu Wassini, Now I Do/ Ku Tahu, Nani dan Dua Dalam Bahtera. Lagu Now I Do/ Ku Tahu (dalam dwibahasa) merupakan lagu ciptaan Waheeda sendiri. September depan, Waheeda akan muncul dengan album studio yang sepenuhnya sebagai kesinambungan kepada album mini yang telah mendapat sambutan luar biasa daripada peminat. Tidak ketinggalan, filem sulung lakonan Waheeda, Jutawan Fakir juga bakal ditayangkan di pawagam tidak lama lagi. ``Saya gemar menyahut cabaran. Mencuba pelbagai bidang yang berbeza juga antara tabiat saya. Ternyata, keputusan saya tidak sia-sia. Saya senang sekali dengan dunia hiburan yang saya ceburi,'' ujarnya seraya tersenyum. Penglibatan Waheeda dalam dunia hiburan sesuatu yang cukup berbeza jika dibandingkan dengan mana-mana pendatang baru dalam bidang ini. Waheeda tidak pernah menganggap penyertaannya dalam industri sekadar mengisi masa lapang atau suka-suka. ``Saya benar-benar serius dalam bidang nyanyian. Berdasarkan pengamatan saya nyanyian boleh menjamin masa depan yang gemilang andai seseorang artis itu fokus dan serius,'' kata Waheeda optimis. Bakal mencecah usia 25 tahun 23 September depan, Waheeda tidak menafikan, dalam keseronokan mengecap kebahagiaan hidup sebagai artis, beliau dihimpit oleh pelbagai dugaan dan kesulitan, khususnya dugaan yang boleh menjejaskan imannya. Bahkan ada ketika Waheeda sering gusar memikirkan mampukah beliau mempertahankan dirinya berdepan dengan dugaan dan cabaran dunia seni. ``Syukur sehingga ke hari ini saya mampu untuk mengharungi segala dugaan itu. Paling utama saya sentiasa muhasabah diri. ``Rakan-rakan dan kaum keluarga juga banyak membantu dan membimbing saya. Dalam apa kerjaya sekalipun, paling utama yang harus diberi tumpuan ialah niat. ``Jika niat kita baik, semua kerja juga akan berjalan dengan sebaik yang mungkin. Insya-Allah,'' jelas Waheeda lagi. - DEAN
|