WAHEEDA, The Beautiful Star






Selamat datang ke blog Waheeda. Anda bebas untuk memberikan sebarang komen & elakkan sebarang bahasa yg kesat.



Subject: Serius, usaha dan tawakal - Menjamin masa depan | Wednesday, December 3, 2003
Generasi Wawasan
Oleh ZUARIDA MOHYIN

Wassini begitu sinonim dengan Waheeda atau nama sebenarnya Nor Wahidah Abdul Wahab. Gadis kelahiran Johor ini, sebelum bergelar penyanyi, aktif dengan kerja-kerja di belakang tabir seperti mencipta dan mengubah lagu.
Kini, Waheeda melebarkan lagi sayap seninya dengan berlakon. Filem Jutawan Fakir adalah filem sulung lakonan Waheeda, yang ditayangkan di pawagam pada Syawal ini.
Kejayaan Waheeda ini wajar dibanggakan kerana kemunculannya di persada seni tanah air membawakan satu konsep yang lain daripada yang lain, World Music. Ini merupakan satu pembaharuan.
Album Wassini diterbitkan oleh MIG Record memuatkan empat buah lagu iaitu Wassini, Now I Do/ Ku Tahu, Nani dan Dua Dalam Bahtera.
Lagu Now I Do/ Ku Tahu (dalam dwibahasa) merupakan lagu ciptaan Waheeda sendiri. Sekali gus, ia diminati ramai dan tersenarai dalam Juara Lagu 18 peringkat akhir.
Penglibatan Waheeda dalam dunia hiburan sesuatu yang cukup berbeza kerana beliau tidak pernah menganggap penyertaannya dalam industri ini sekadar mengisi masa lapang atau mencuba nasib.
``Saya gemar menyahut cabaran. Mencuba pelbagai bidang yang berbeza juga antara tabiat saya sejak dari zaman persekolahan lagi. Ternyata, keputusan saya ini membawa banyak rahmat.
``Malah, saya memang serius dalam bidang ini. Hakikatnya, waima bidang apa sekalipun ia boleh menjamin masa depan yang cerah dengan syarat seseorang itu fokus, serius, usaha dan bertawakal,'' kata Waheeda, 25 tahun.
Waheeda tidak menafikan, semenjak semakin dikenali dan diterima peminat, beliau turut berhadapan dengan pelbagai dugaan dan kesulitan, tanpa benteng keimanan ia boleh memudaratkan.
Bahkan, terlintas di fikirannya akan kemampuan diri dalam menghadapi dugaan dan cabaran dunia seni.
``Alhamdulillah, sehingga hari ini saya mampu mengharungi segala dugaan mendatang. Satu perkara yang selalu di ingatan, saya tidak pernah lupa bermuhasabah diri.
``Ahli keluarga dan teman-teman juga banyak membantu dan membimbing saya. Pokok pangkalnya, berbalik kepada niat kita.
``Saya percaya kepada nawaitu seseorang itu. Jika niat kita baik, semua kerja juga akan berjalan dengan sebaik yang mungkin, insya-Allah,'' terang Waheeda.
Bakat besar yang dimiliki Waheeda hakikatnya bukan dalam dunia hiburan sahaja, malah sebelum bergelar anak seni, Waheeda merupakan seorang lulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan.
Menurutnya, minatnya pada seni bermula sejak dari kecil lagi. Malah minat yang sama turut dikongsi bersama seluruh ahli keluarganya.
Ayahnya berkebolehan bermain alat muzik gitar dan keyboard. Lantaran itu, tidak hairanlah Waheeda mendapat pendedahan kepada muzik seawal usia lima tahun. Dia telah dihantar mengikuti kelas organ, piano dan violin.
Sungguhpun Waheeda disenangi dengan penampilannya yang bertudung litup dan sopan gaya wanita Muslimah, namun ia bukan penghalang untuk menghargai muzik, sama ada tradisional ataupun Barat.
Akui Waheeda, seni itu membawa pengertian yang luas dan subjektif, sama seperti orang melihat atau menilai cantik.
Hakikatnya, muzik adalah sejagat, sesiapa sahaja boleh mendengar dan menghargai karya muzik orang lain.
``Yang pasti, setiap individu itu harus bersikap terbuka tetapi pada masa yang sama tidak mudah terpengaruh dengan anasir yang negatif sehingga ke tahap mengagungkan mereka secara keterlaluan.
``Kesukaan saya kepada irama Melayu asli dan gazal, memang tidak boleh ditolak tetapi sebenarnya pertalian antara lagu-lagu ghazal dan Arab begitu hampir, jadi semua ini bukan sesuatu yang baru atau menyulitkan penghayatan saya.
``Hakikatnya, album Wassini memberi suntikan semangat dan keyakinan kepada saya untuk menghasilkan album yang lebih bermutu dan melibatkan karya saya sepenuhnya pada masa akan datang,'' ujar Waheeda yang tidak suka dengan sikap separuh jalan dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
Tegas Waheeda lagi, beliau bukannya menyanyikan irama nasyid, cuma irama World Music yang dibawa menonjolkan mesej yang baik dan ia berunsur ketuhanan.

0 Comments: