WAHEEDA, The Beautiful Star






Selamat datang ke blog Waheeda. Anda bebas untuk memberikan sebarang komen & elakkan sebarang bahasa yg kesat.



Subject: Wassini mengubah hidup Waheeda | Sunday, November 23, 2003
PENYANYI muda yang bertudung litup dan bersuara unik, Waheeda mempunyai banyak alasan untuk berasa seperti berada di puncak keriangan menyambut Aidilfitri tahun ini.
Banyak tuah memihak kepada dirinya sejak kebelakangan ini dan semuanya gara-gara album single Wassini yang meletup tanpa diduga itu.
Lagu itu bukan saja memperkenalkan Waheeda dalam arena seni suara pada masa yang sama bakal mengukir banyak nostalgia yang indah di awal pembabitannya dalam dunia nyanyian.
Wassini bukan sekadar melayakkan Waheeda ke final Juara Lagu 2003 dalam kategori Etnik Kreatif tetapi membolehkan dia memiliki anugerah emas untuk jualan album itu. Album Wassini berjaya terjual lebih 15,000 unit.
Bagi sebuah album mini yang cuma memuatkan empat buah lagu termasuk Wassini ia adalah satu rekod yang baik untuk artis baru sepertinya.
Majlis penyerahan anugerah emas untuk album tersebut diadakan baru-baru ini.
Kejayaan itu sememangnya membuka lembaran yang luas untuk menjayakan impiannya bergelar penghibur. Malah tidak lama lagi Waheeda ke studio untuk rakaman album penuhnya.
Album yang bakal mendapat sentuhan komposer muda seperti Yassin, Hazami, Reshmonu dan Amir Ruffedge itu akan terus mempertaruhkan irama World Music.
Tidak ketinggalan ialah lagu Wassini dalam versi unplugged. Kemungkinan besar untuk album yang sama, Waheeda akan berduet dengan penyanyi muda berbakat Siti Nurhaliza.
``Ia masih pada peringkat perbincangan, pihak kami sudah pun mendekati Siti, tunggu perkembangan nanti,'' komen Waheeda yang mengakui cukup berbesar hati andai berpeluang berduet dengan artis kesayangan ramai itu.
Waheeda juga meletakkan harapan yang tinggi agar perancangan duet dengan idolanya itu berjaya walaupun perkara itu masih samar.
Berceloteh tentang perkembangan tersebut komen Waheeda, kejayaan awal itu tidak akan sesekali menjadikan dia lupa diri atau alpa.
Malah artis itu mengakui bahawa dia akan lebih berhati-hati untuk melayari bahtera seni yang dipilih itu sebaik mungkin.
``Kita memang sentiasa alpa dengan tanggung jawab dan tidak bersyukur dengan nikmat yang ada.
``Atas sebab itu saya perlu berhati-hati. Apa pun saya banyak belajar daripada album mini itu tentang selok-belok dunia artis,'' katanya.
Apa yang dipelajari oleh artis berusia 26 tahun itu juga mungkin atmosfera dunia artis yang penuh dugaan termasuk gosip itu.
``Memang tidak boleh lari daripada perkara itu dan saya terima sebagai salah satu cabaran saja,'' tambahnya yang turut tidak dapat lari daripada gosip percintaan.
Bercerita tentang persediaannya ke pentas Juara Lagu kelak, kata Waheeda, dia akan memastikan yang terbaik.
``Banyak aspek yang akan saya titik beratkan daripada penampilan hinggalah ke vokal,'' katanya penuh keyakinan.
Di sebalik semua itu, artis tersebut juga semakin berdebar menantikan reaksi peminatnya menjelang penampilan sulungnya di layar perak bagi filem Jutawan Fakir.
Filem yang menjadi tayangan bersempena Aidilfitri itu menggandingkan Waheeda sebagai heroin di samping Apek Senario.
Apa pun dunia lakonan itu sekadar tempelan dan dia tidak berhasrat untuk membelakangi dunia nyanyian yang pasti menjadi keutamaannya.
``Minat saya lebih kepada muzik dan cuma akan berlakon jika ada kelapangan,'' jelasnya yang turut mempunyai bakat mencipta lagu.
Apa yang pasti kehadiran Ramadan dan Syawal pada tahun ini membawa seribu keceriaan untuk artis berasal dari Johor itu.
Bercerita tentang perancangan menyambut Aidilfitri yang pertama sebagai celebrity kata Waheeda, dia tetap memilih suasana kesederhanaan bersama keluarganya.
``Saya akan beraya bersama keluarga di Johor tetapi mungkin sekejap saja kerana saya harus kembali untuk membuat persediaan Juara Lagu,'' tambahnya.
Artis itu bagaimanapun tidak menafikan bahawa perasaan untuk merayakan Aidilfitri tahun ini sedikit berbeza memandangkan dia sudah bergelar celebrity.
``Perbelanjaan mungkin lebih sedikit daripada tahun lepas,'' kata Waheeda yang merancang untuk mengadakan rumah terbuka untuk peminatnya.

0 Comments: