WAHEEDA, The Beautiful Star






Selamat datang ke blog Waheeda. Anda bebas untuk memberikan sebarang komen & elakkan sebarang bahasa yg kesat.



Subject: Saya bukan penyanyi nasyid – Waheeda | Tuesday, October 21, 2003
DALAM industri hiburan tempatan, Waheeda boleh disenaraikan sebagai penyanyi kedua selepas Yasin yang muncul dengan album berkonsepkan world music.
Selain cuba mengetengahkan konsep muzik itu, Waheeda juga boleh tersenyum lebar apabila album pertamanya yang berjudul Wassini berjaya memikat hati pendengar.
Buktinya, lagu berjudul Wassini yang dimuatkan menerusi album sulungnya itu diminati ramai dan ia turut tersenarai dalam Juara Lagu 18 peringkat separuh akhir baru-baru ini.
``Bukan itu sahaja, tetapi saya difahamkan jualan album Wassini setakat ini sudah mencecah lebih 15,000 unit sejak ia berada di pasaran 10 Mei lalu.
``Malah, Wassini hanyalah sebuah album mini yang mengandungi empat buah lagu sahaja,'' kata Waheeda pada pertemuan dengan Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Waheeda atau nama sebenarnya Nor Wahidah Abd. Wahab, 25, jualan Wassini yang memberangsangkan itu memberi semangat kepadanya untuk terus menyanyi.
``Wassini memberi semangat dan keyakinan kepada saya untuk menghasilkan album di masa akan datang. Buat masa ini, saya sedang membuat persiapan untuk menghasilkan album baru,'' ujar Waheeda.
Tambah Waheeda, para peminat bukan setakat meminati lagu Wassini tetapi ada di kalangan mereka yang mencadangkannya supaya berduet dengan Yasin.
``Yasin adalah penerbit album Wassini. Saya memang ada rancangan mahu berduet dengan Yasin dalam sebuah album. Pada pendapat saya, ia tidak salah kerana kami mempunyai konsep muzik yang sama.
``Sebelum inipun, saya dan Yasin pernah berduet menerusi lagu Salsabila dalam satu program terbitan RTM,'' cerita Waheeda.
Jelas Waheeda lagi, ada juga di kalangan peminat yang melabelkannya sebagai Yasin versi wanita lantaran konsep muzik yang diperjuangkannya itu.
``Kenyataan itu timbul kerana kebetulan saya dan Yasin membawakan konsep muzik yang sama. Walau bagaimanapun, ramai yang keliru dengan konsep muzik kami.
``Saya bukannya menyanyikan irama nasyid. Ramai juga peminat yang salah faham. Ini kerana, irama nasyid dan world music agak berbeza.
``Persamaannya ialah, dua irama tersebut menonjolkan mesej yang baik dan ia berunsur ketuhanan,'' kata Wahida lagi mengakhiri perbualan.

0 Comments: