DI hari yang mulia ini amalan kunjung mengunjung untuk mengeratkan lagi silaturrahim perlu diamalkan. Malah budaya tersebut sudah sinonim dengan jiwa orang Melayu. Maka apabila raya menjelang, kecil besar tua muda akan saling ziarah menziarahi.
Bagi golongan artis, cara menyambut raya agak berlainan. Achik Spin yang tengah top dengan lagu Paling Comel dendangan bersama Siti Nordiana ini berkata, raya kedua kali ini dia perlu pergi ke Brunei Darussalam atas urusan kerja.
Tambah Achik, dia terpaksa mengorbankan kemeriahan rayanya demi untuk mengatur masa depan. Katanya, dia akan beraya sakan apabila urusannya di Brunei selesai nanti.
Achik kini sibuk dengan syarikat Spire Spin Sdn. Bhd., yang dikongsi bersama Siti Nordiana.
Di waktu yang sama dia juga menguruskan Spire Spin Club Entertainment. Kata Achik, semua peminat dialu-alukan menyertai kelab tersebut.
``Bayaran RM35 untuk seumur hidup. Peminat yang menganggotai kelab Achik ini berpeluang untuk pergi melancong bersama dan memiliki barangan seperti telefon bimbit, buku, pen dan kalendar yang dijual dengan harga yang berpatutan,'' katanya yang semakin matang itu.
Kata Achik, sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi Jay di talian 013-7041998.
Sementara Siti Nordiana (Nana) pula berkata seperti biasa, dia berhari raya di Sendayan, Negeri Sembilan.
Nana juga terpaksa bersama keluarga sekejap sahaja kerana selepas tiga hari di kampung, dia akan pergi ke Kuching, Sarawak.
Katanya, ``Nana banyak mendapat undangan persembahan selepas raya. Tawaran mendatang tidak boleh ditolak sebab itulah Nana kena pandai membahagikan masa antara karier dan keluarga.
``Lagipun selepas raya ini, Nana akan mula masuk studio untuk rakaman album baru,'' katanya.
Penyanyi Waheeda yang popular dengan lagu Wassini amat gembira menyambut raya tahun ini. Katanya, ``Saya diberitahu ada orang menjual tudung menggunakan nama saya. Tentu ramai yang pakai tudung seperti saya pada raya inikan? Cuma saya harap, kalau pakai tu biarlah dengan cara yang betul,'' katanya sambil tersenyum.
Waheeda yang pertama kali beraya sebagai artis, menyambut raya tahun ini di Bukit Tiram, Johor Bahru.
Kata Waheeda, ``Kami berkumpul menikmati masakan ibu, Nasi Bombay bersama Ayam Masak Merah, Laksa Johor dan Sambal Goreng. Sudah menjadi tradisi keluarga pada Hari Raya menjamu juadah itu.''
Elyana pula tahun ini beraya di Kampung Pandan dan Kelang. Sementara Mamat yang popular dengan lagu raya, Ku Pohon Restu Ayah Bonda, kali ini menyambut raya di rumah mentua.
Jelasnya setelah beraya di Rembau, Negeri Sembilan, barulah dia dan isteri, Shila serta anak, Alya Maisara pulang ke Kampung Melayu, Johor rumah keluarganya.
Post a Comment
<< Home