WAHEEDA, The Beautiful Star






Selamat datang ke blog Waheeda. Anda bebas untuk memberikan sebarang komen & elakkan sebarang bahasa yg kesat.



Subject: Waheeda positif terhadap muzik | Sunday, August 24, 2003
``SAYA gemar mendengar lagu-lagu Linkin Park kerana banyak mesej di sebalik muzik mereka yang agak keras. Vokal Christina Aguilera pula banyak mendedahkan saya kepada teknik nyanyian yang sebenar.''

Itu adalah sebahagian daripada pengakuan penyanyi wanita bertudung litup ala Wardina, Waheeda. Dia kini semakin melonjak popularitinya menerusi lagu Wassini atau yang membawa maksud Nasihati Aku.

Meskipun pergerakan sosialnya dibatasi oleh imej dan personaliti wanita Muslim, namun itu bukan alasan untuk Waheeda menghargai muzik dan karya seni bangsa asing.
Waheeda bersikap jujur. Beliau sentiasa mempunyai hujah dan alasan yang tersendiri ketika mempertahankan pendiriannya.

``Seni itu mengundang definisi yang cukup luas. Sesiapa sahaja boleh mendengar dan meminati karya muzik orang lain meskipun dari Barat.

``Paling utama, setiap individu itu harus bersikap terbuka tetapi pada masa yang sama tidak terpengaruh dengan anasir-anasir yang negatif. Itu pendirian saya,'' ujar Waheeda lulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan.

Cinta Waheeda pada seni berputik sejak dari kecil lagi. Minat yang sama dikongsi si manis berusia 25 tahun ini dengan seluruh ahli keluarganya.

Menurut Waheeda, ayahnya pandai bermain gitar dan keyboard. Justeru tidak hairanlah ayahnya telah mendedahkan puterinya itu kepada muzik dengan menghantar Waheeda mengikuti kelas organ, piano dan violin.

Sebagai anak kelahiran Johor yang sentiasa dipupuk kecintaan mereka terhadap irama muzik ghazal dan Melayu asli, Waheeda tidak ketinggalan daripada didedahkan kepada persekitaran yang serupa.

``Cinta saya terhadap irama ghazal dan Melayu asli cukup mendalam sekali. Semua ini disebabkan saya terpengaruh dengan saudara-mara dan ahli keluarga saya yang aktif melibatkan diri dalam kegiatan seni,'' ceritanya mendedahkan pengalaman awalnya mendekati irama ghazal dan Melayu asli.

Pun begitu, di sebalik latar belakang Waheeda yang mencintai irama ghazal dan Melayu asli, sesuatu yang menghairankan mengapa beliau memilih genre world music atau pengaruh Asia Barat dalam album mininya.

Menjawab pertanyaan ini, Waheeda menjelaskan, selain ghazal dan Melayu asli, beliau juga dewasa dengan lagu-lagu Arab.

``Pertalian antara lagu-lagu ghazal dan Arab begitu dekat sekali, jadi semua ini bukan sesuatu yang baru atau sesuatu yang menyulitkan untuk saya,'' kata Waheeda lagi.

Apakah Waheeda juga fasih berbahasa Arab?
``Saya masih dalam proses pembelajaran bahasa Arab,'' kata Waheeda lagi.
Album mini Waheeda yang diterbitkan oleh MIG Record sekadar memuatkan empat buah lagu iaitu Wassini, Now I Do/ Ku Tahu, Nani dan Dua Dalam Bahtera.

Lagu Now I Do/ Ku Tahu (dalam dwibahasa) merupakan lagu ciptaan Waheeda sendiri. September depan, Waheeda akan muncul dengan album studio yang sepenuhnya sebagai kesinambungan kepada album mini yang telah mendapat sambutan luar biasa daripada peminat.

Tidak ketinggalan, filem sulung lakonan Waheeda, Jutawan Fakir juga bakal ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.

``Saya gemar menyahut cabaran. Mencuba pelbagai bidang yang berbeza juga antara tabiat saya. Ternyata, keputusan saya tidak sia-sia. Saya senang sekali dengan dunia hiburan yang saya ceburi,'' ujarnya seraya tersenyum.

Penglibatan Waheeda dalam dunia hiburan sesuatu yang cukup berbeza jika dibandingkan dengan mana-mana pendatang baru dalam bidang ini.

Waheeda tidak pernah menganggap penyertaannya dalam industri sekadar mengisi masa lapang atau suka-suka.

``Saya benar-benar serius dalam bidang nyanyian. Berdasarkan pengamatan saya nyanyian boleh menjamin masa depan yang gemilang andai seseorang artis itu fokus dan serius,'' kata Waheeda optimis.

Bakal mencecah usia 25 tahun 23 September depan, Waheeda tidak menafikan, dalam keseronokan mengecap kebahagiaan hidup sebagai artis, beliau dihimpit oleh pelbagai dugaan dan kesulitan, khususnya dugaan yang boleh menjejaskan imannya.

Bahkan ada ketika Waheeda sering gusar memikirkan mampukah beliau mempertahankan dirinya berdepan dengan dugaan dan cabaran dunia seni.

``Syukur sehingga ke hari ini saya mampu untuk mengharungi segala dugaan itu. Paling utama saya sentiasa muhasabah diri.

``Rakan-rakan dan kaum keluarga juga banyak membantu dan membimbing saya. Dalam apa kerjaya sekalipun, paling utama yang harus diberi tumpuan ialah niat.

``Jika niat kita baik, semua kerja juga akan berjalan dengan sebaik yang mungkin. Insya-Allah,'' jelas Waheeda lagi.

- DEAN

0 Comments: