LAGU Wassini nyanyian Waheeda mendapat sambutan menggalakkan apabila disiarkan di radio walaupun albumnya belum dipasarkan. Populariti lagu tersebut menyebabkan banyak peminat mula tercari-cari album penyanyi lagu-lagu berkonsep `world music' itu. Untuk tidak menghampakan peminat album yang dalam proses pembikinan itu dipasarkan dalam bentuk album mini yang memuatkan empat lagu.
``Syarikat rakaman mengambil keputusan memasarkannya kerana banyak peminat yang mencari album tersebut di pasaran,'' kata Waheeda yang tampil dengan imej bertudung.
Dia kini memberi tumpuan dengan mempromosi lagu tersebut sementara menunggu album penuh yang masih dalam proses rakaman.
Waheeda sememangnya mempersiapkan diri lebih awal sebelum bersedia muncul merakam album dengan memiliki kebolehan mencipta lagu dan menggubah muzik.
Malah album sulung tersebut memuatkan lagu Now, I Do yang diciptanya sendiri. Dia juga turut berkongsi memberi idea dalam susunan muzik lagu-lagunya.
``Pada masa akan datang saya harap dapat menerbitkan sendiri album saya. Sebagai langkah awal, saya mempelajari beberapa perkara yang melibatkan pembikinan album,''katanya yang memiliki kelengkapan untuk menggubah dan menyusun lagu di rumah.
Kebolehan mencipta lagu atau menggubah muzik bukanlah kemestian untuk menjadi seorang penyanyi rakaman. Namun memiliki kelebihan itu adalah satu kelebihan.
``Kepandaian yang dimiliki membuatkan seseorang penyanyi boleh menentukan arah tuju lagu-lagu mereka,'' kata penyanyi itu lagi.
Sesuai dengan imejnya lagu-lagu Waheeda memuatkan lirik yang menyentuh kata-kata nasihat.
``Saya tidak menyanyikan lagu yang mengisahkan perasaan cinta dari wanita terhadap lelaki,'' kata Waheeda lagi.
Imej yang dibawakannya adalah imej semula jadi. Malah, sebelum disunting syarikat rakaman, dia telah lebih dulu bertutup kepala.
Waheeda juga terpaksa membataskan aktiviti dengan tidak menyanyi di tempat yang tidak sesuai dengan imejnya.
Sebagai pilihan irama, dia memilih lagu yang mempunyai sentuhan irama Arab kerana terdedah dengan lagu sedemikian sebelum ini. Malah Waheeda juga mula mempelajari bahasa Arab.
Dua buah lagi lagu yang dimuatkan ialah Nani dan Dua Bahtera. Nani adalah sebuah lagu yang dinyanyikan sepenuhnya dalam bahasa Arab.
``Saya menghafal maksud lagu Nani untuk membolehkan saya menghayatinya semasa rakaman dan ketika membuat persembahan.
``Apabila saya berjaya berbuat demikian, pasti tidak akan mengecewakan peminat yang menonton persembahan,'' katanya.


Post a Comment
<< Home