Oleh KHADIJAH IBRAHIM
JARANG sekali penyanyi wanita tempatan memilih irama world music sebagai konsep album berbanding irama pop. Bagaimanapun, bagi penyanyi baru Norwahidah Abd. Wahab, 24, beliau lebih senang mencuba nasibnya menerusi irama world music.
Pemilihan Norwahidah atau dikenali sebagai Wawa bersesuaian dengan imejnya yang bertudung.
Bagi Wawa yang berasal daripada Johor Bahru, pemilihan irama world music juga selari dengan irama nasyid yang diketengahkan oleh kebanyakan penyanyi masa kini.
Walaupun beliau memilih world music namun kebanyakan lirik-lirik yang dimuatkan untuk album Wawa lebih cenderung kepada unsur nasihat.
``Apa yang bezanya hanyalah irama lagu tapi niat saya tetap sama seperti orang lain. Selain berhibur saya juga ingin mengajak orang ramai mendekati Yang Maha Esa. Cuma pendekatan saya sahaja berbeza,'' katanya.
Sesuai dengan negeri asalnya yang Wawa berkebolehan mendendangkan lagu-lagu berentak ghazal, asli dan pop akan tampil dengan single pertama tidak lama lagi.
Album sulungnya yang diterbitkan oleh Yassin dijangka akan menemui peminat pada awal Februari tahun depan.
Secara berseloroh Wawa berkata, beliau adalah Yassin versi wanita.
Namun, pada hakikatnya Wawa yang mendapat tunjuk ajar daripada penyanyi tersebut tidak bercadang untuk meniru gaya `sifunya' itu.
Untuk permulaan, Wawa telah pun merakamkan dua lagu iaitu Wassini dan Now I Do/Ku Tahu. Wassini yang bermaksud Beritahuku akan dijadikan sandaran untuk menguji bakatnya dalam bidang seni. Lagu ini dijangka akan menjadi hit bagi albumnya.
Selain merakamkan album yang diselenggarakan oleh Yassin, Wawa juga diberi peluang mencipta dan menulis lirik. Lagu Now I Do/Ku Tahu adalah ciptaannya.
``Semuanya bermula secara suka-suka sahaja. Saya pernah cipta lagu untuk kumpulan nasyid Adi Putra dan dari situlah saya mula menyimpan minat untuk terus mencipta,'' jelasnya.
Menceritakan pembabitannya sebagai penyanyi rakaman, Wawa berkata beliau terpaksa menunggu selama dua tahun sebelum menjadi artis di bawah naungan MIG Records.
Walaupun albumnya belum siap sepenuhnya, Wawa dengan kerjasama Yassin telah diberi pendedahan setiap kali artis tersebut mengadakan persembahan.
Anak sulung daripada empat beradik itu juga berharap kehadirannya dalam mewarnai pentas seni akan mendapat sokongan ramai.
Walaupun Wawa baru saja selesai pengajian dalam Ijazah Pengurusan Perniagaan, beliau mengambil keputusan untuk menumpukan perhatian pada bidang seni dulu.
``Setakat ini saya belum membuat keputusan untuk bekerja. Biarlah saya tumpukan pada seni dulu. Lagipun dua tahun saya menunggu untuk jadi artis rakaman,'' katanya yang mendapat sokongan keluarga.
source: http://www,utusan.com.my/


Post a Comment
<< Home